top of page
Search

Pengajaran daripada Pengalaman Bekerja dengan Bos Toksik di Tempat Kerja

Sepanjang kerjaya saya dalam bidang HR sejak tahun 1996, saya telah berdepan dengan pelbagai gaya kepimpinan. Sesetengahnya memberi inspirasi untuk berkembang, membina kepercayaan, dan menggalakkan kerjasama. Malangnya, ada juga yang mewujudkan persekitaran yang memberi tekanan, merosakkan motivasi, dan kadangkala membawa kesan negatif yang digambarkan sebagai toksik. Sepanjang pengalaman kerja, saya secara peribadi telah mengalami dua bos wanita toksik, enam rakan sekerja wanita toksik, dan seorang bos lelaki toksik, lebih wanite toksik dari lelaki. Ini hanya pengalaman saya. Ia telah memberi pengajaran berharga tentang ketahanan, batas profesional, dan kepentingan budaya organisasi.


Bos atau rakan sekerja toksik boleh hadir dalam pelbagai bentuk dari memeriksa setiap tugas secara terperinci (micro managing), merendahkan keyakinan, menyebarkan berita negatif, atau menunjukkan layanan pilih kasih. Berdasarkan pengalaman saya, kesan ini bukan sahaja pada moral pekerja tetapi juga kepada produktiviti, penglibatan, dan keharmonian kerja berpasukan. Malah pekerja yang sangat kompeten boleh menghadapi kesukaran di bawah keadaan toksik yang berterusan yang akhirnya membawa kepada tekanan, keletihan, dan jatuhnya moral.


Pada tahun-tahun awal kerjaya saya iaitu 1996, akta dan seksyen berkaitan pekerjaan tidak begitu jelas. Pada ketika itu, HR cuma dapat akses ke pejabat tenaga kerja untuk mendapatkan nasihat. Ramai pekerja menjadi “mangsa keadaan” kerana tiada panduan, tiada sumber yang mudah diakses, dan tiada sistem tersusun untuk mentafsirkan undang-undang. Berbeza dengan sekarang, di mana maklumat mudah diperoleh melalui internet, pekerja dan pengurus pada masa itu terpaksa membuat keputusan dalam keadaan tidak pasti, yang kadangkala meningkatkan tekanan dan konflik di tempat kerja dan menyumbang kepada melanggar undang-undang Akta Kerja 1955.


Pengalaman ini mengajar saya pentingnya menjaga batas profesional. Walaupun kita tidak boleh mengawal tingkah laku orang toksik, kita boleh mengawal reaksi kita sendiri. Melakukan tugasan dengan betul dan dedikasi, mengekalkan komunikasi yang jelas, dan mengurus dengan teliti boleh mengurangkan salah faham dan melindungi integriti profesional. Ia akan menjadi bukti penting sekiranya timbul isu yang dibawa ke pihak pengurusan atasan.


Pada ketika waktu yang mencabar, jika anda mempunyai rakan sekerja, mentor, atau panduan dari HR yang dipercayai boleh memberikan perspektif, nasihat praktikal, dan sokongan emosi adalah sangat penting. Tetapi saya sendiri adalah pengurus HR terpaksa menelan seorang diri kepahitan menghadapi boss dan rakan-rakan yang toksik. Sebagai HR saya hanya boleh bertahan, dan masih mampu membimbing rakan2 kerja yang menghadapi perkara yang sama. Saya terpaksa belajar untuk mengurus tingkah laku toksik untuk objektif pertumbuhan kerjaya dan kesejahteraan mental saya sendiri.



Pengalaman ini memberi impak dan mengajar saya untuk mengetahui apa sebenarnya yang diperlukan oleh sesebuah syarikat, bukan untuk terus menyingkirkan orang yang toksik, tetapi untuk mengurangkan bilangan orang yang toksik supaya organisasi dapat berfungsi dengan lebih harmoni dan produktif. Tingkah laku toksik biasanya membawa diri mereka ke mana sahaja kerana ia adalah corak dan strategi hidup orang-orang seperti ini. Tetapi organisasi yang sihat dan tegas boleh mengurangkan impak negatif mereka, dan dalam beberapa kes, memaksa mereka menyesuaikan diri. Di sebalik semua sikap manipulatif, mengawal, atau merendahkan orang lain, orang toksik sebenarnya takut kepada kelemahan, kegagalan, kehilangan kuasa, atau penolakan. Tingkah laku mereka adalah cara mereka cuba melindungi diri daripada ketakutan dalaman ini. Secara keseluruhan, mereka tidak ada keyakinan diri.


Orang yang bertoksik biasanya takut kepada struktur yang jelas, ketelusan, bukti, dan konsistensi. Oleh itu, untuk mengatasi orang-orang yang bertoksik, anda boleh:


  1. Jangan bertindak secara emosi - Kekal tenang, profesional dan berasaskan fakta. Reaksi emosi hanya akan memberi ruang kepada mereka untuk mengawal keadaan.


  2. Rekod dan dokumentasikan dengan baik - Semua arahan, perbincangan dan keputusan perlu direkod secara bertulis. Fakta dan bukti mengurangkan manipulasi sebab orang-orang toksik ada potesi untuk manipulasi.


  3. Tetapkan sempadan yang jelas - Nyatakan skop kerja, tanggungjawab dan saluran komunikasi dengan tegas tetapi berhemah. Elakkan memberi penjelasan berlebihan.


  4. Gunakan sistem - Polisi, SOP, KPI dan tatacara disiplin menjadikan isu lebih objektif dan profesional.


  5. Jangan cuba mengubah sikap mereka - Fokus kepada mengurangkan kesan tingkah laku toksik, bukan membetulkan personaliti.


  6. Kukuhkan budaya akauntabiliti - Budaya kerja yang jelas, konsisten dan adil akan mengecilkan ruang untuk tingkah laku toksik berleluasa.


  7. Lindungi diri dan fokus jangka panjang - Utamakan kesejahteraan mental, reputasi profesional dan hala tuju kerjaya. Jangan fokus pada orang-orang begini sebab meraka akan melemahkan kita.


Pengalaman berhadapan dengan bos dan rakan sekerja yang toksik telah menonjolkan betapa pentingnya budaya organisasi dan pembangunan kepimpinan yang kukuh. Tingkah laku toksik lazimnya wujud dalam persekitaran kerja yang kurang akauntabiliti, polisi yang tidak jelas, serta nilai organisasi yang tidak ditegakkan secara konsisten. Bagi saya, perkara ini mengukuhkan keyakinan bahawa pembinaan sistem HR yang telus, adil dan berstruktur adalah kritikal bagi mengelakkan situasi yang sama berulang kepada pasukan pada masa hadapan. Ia juga membuktikan kepentingan pembinaan budaya secara proaktif, di mana pemimpin dan pekerja bukan sahaja dilatih dari aspek kemahiran teknikal, tetapi juga dari segi empati, komunikasi berkesan dan pengurusan yang beretika.


Semua pengalaman ini telah membina keyakinan saya untuk merangka dan melaksanakan polisi, rangka kerja serta program kepimpinan yang mampu melindungi kebajikan pekerja, mengekalkan standard prestasi, dan mewujudkan persekitaran kerja yang saling menghormati.


Walaupun bos dan rakan sekerja yang toksik boleh meninggalkan kesan jangka panjang, mereka juga menjadi sumber pengajaran penting dalam membina tempat kerja yang lebih baik. Bagi saya, pengalaman-pengalaman ini menjadi pemangkin untuk lebih memahami keperluan kepimpinan berasaskan nilai, sistem HR yang mantap, serta keperluan mengintegrasikan budaya dan tadbir urus dalam setiap aspek organisasi.

 
 
 

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating

© 2023 by Suzie HR Consult. All rights reserved.

bottom of page